KL2017: Skuad hoki ais sedia rentap Thailand

 

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad hoki ais negara, Kristof Kovago menegaskan Thailand bakal menjadi pencabar utama kepada anak buahnya dalam misi memburu pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Pengendali dari Hungary itu berkata, Thailand memiliki kelebihan untuk memenangi emas berdasarkan prestasi semasa pasukan berkenaan.

Namun, Kovago menegaskan itu bukan bermakna peluang untuk skuad negara memenangi emas sudah tertutup sebaliknya dia pemainnya mampu melakukan sesuatu untuk mengejutkan Thailand.

“Saya akui dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini, mereka (Thailand) berjaya menewaskan skuad negara dan pasukan lain yang bakal beraksi pada Sukan SEA kali ini.

“Namun, untuk aksi di Kuala Lumpur, ia pastinya berbeza. Ia adalah perlawanan baharu yang penuh dengan semangat tinggi untuk memenuhi sasaran meraih emas.

“Kali ini, kami akan tampil berbeza, beberapa siri perlawanan yang disertai banyak memberikan pengalaman dan pendedahan kepada pemain.

“Beraksi di pentas akhir adalah perancangan yang sempurna dan kami harapkan ia mampu direalisasikan,” katanya ketika sidang media Program Kita Juara di sini, hari ini.

Kovago yang juga bekas pemain hoki ais Hungary turut melabelkan Filipina serta Indonesia sebagai pasukan yang mampu melakar kejutan.

“Walaupun Thailand antara pasukan pilihan, tetapi bagi saya Filipina dan Indonesia tidak boleh dipandang rendah, jadi kami semua perlu waspada dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

 

Credit to: http://www.bharian.com.my/

Other News

Advertisement