Press Conference At Majlis Sukan Negara with Malaysia Sports Media

KUALA LUMPUR, 2 Ogos 2017 – Sekalipun dianggap pendatang baharu, skuad hoki ais negara tidak mahu kempunan pingat di Sukan SEA Ogos nanti, dengan bersenjatakan semangat kekeluargaan yang terjalin sejak sedekad lalu.

“Kami sasarkan pingat, apa warna sekalipun,” kata pengurus pasukan, Noor Hisham Yahaya.

Beliau berkata, barisan pemainnya kini berada dalam situasi terbaik untuk menghadapi temasya Sukan SEA ke 29.

“Pemain giat menjalani latihan selepas melalui beberapa fasa, dengan latihan selama lima hari seminggu dan kemudian dipertingkatkan sebanyak dua kali sehari.

“Motivasi dan semangat pemain kini tinggi untuk memburu kejayaan pada kali pertama hoki ais dipertandingkan pada temasya Sukan SEA.

“Pastinya kami mengharapkan sokongan padu peminat tempatan untuk menaikkan semangat para pemain pada setiap perlawanan membabitkan skuad kebangsaan,” jelasnya yang percaya skuad kebangsaan mampu melakar keputusan positif pada temasya Ogos nanti.

Mengulas tekanan yang bakal dihadapi barisan pemain, Noor Hisham percaya pengalaman beraksi di beberapa kejohanan sebelum ini akan mematangkan pemain untuk memberi tumpuan penuh pada perlawanan.

“Soal tekanan tidak dapat dielakkan, saya rasa atlet juga mengetahui situasi ini dan mereka sememangnya telah bersedia. Kesemua pemain umpama adik beradik kerana telah bersama sejak 2007.

“Jadi saya rasa mereka akan bermain sebagai sebuah satu pasukan atau lebih jelas lagi satu keluarga yang akan bergerak bersama memastikan kemenangan pasukan,” ujarnya.

Hakikatnya, Thailand dilihat sebagai pilihan utama.

Namun Filipina dan Indonesia juga perlu diberikan perhatian.

Jurulatih skuad kebangsaan, Kristof Kovago yang berasal dari Hungary, berkata di atas kertas memang Thailand memiliki kelebihan untuk bergelar juara berdasarkan prestasi semasa pasukan.

“Ini kami akui dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini mereka (Thailand) berjaya menewaskan skuad kebangsaan dan pesaing-pesaing yang bakal beraksi ditemasya Sukan SEA ke-29 nanti.

“Tetapi untuk  aksi di Kuala Lumpur ia pastinya berbeza, perlawanan baharu dengan semangat tinggi untuk meraih emas yang menjadi sasaran.

“Ketika tewas kepada Thailand 15-1 pada Kejohanan Cabaran Asia Persekutuan Ais Hoki Antarabangsa (IIHF) April lalu, kami menampilkan skuad B.

“Beraksi di pentas akhir adalah perancangan yang sempurna dan kami harapkan ia mampu direalisasikan,” katanya.

Sidang media tersebut turut dihadiri dua pemain, Moi Jia Yung dan penjaga gol, Tengku Muhammad Azlly Tengku Abdillah.

Skuad negara yang bakal beraksi di Empire City, Damansara, pada Ogos 20-24, akan diketuai oleh Loke Ban Kin, penyerang yang berpangkalan di Sweden.

Sukan yang disertai enam pemain sepasukan itu memerlukan kemahiran meluncur di atas ais serta mengawal puck sambil menyusun taktik dengan pantas.

Seramai 17 pemain disenaraikan untuk temasya Sukan SEA.

 

Credit to http://www.nsc.gov.my