Sukan SEA: Skuad hoki ais beri saingan kepada Thailand

Ketua jurulatih skuad hoki ais negara, Kristov Kovago, memberi jaminan mereka mampu melahirkan saingan kepada Thailand walaupun rekod terakhir pertemuan menyaksikan skuad negara dibelasah 14-1 dalam Kejohanan Piala Cabaran Hoki Ais Asia, Mac lalu.

Jurulatih dari Hungary ini menjelaskan kekalahan besar kepada Thailand itu sememangnya sebahagian daripada strategi kerana tidak mahu mendedahkan kekuatan sebenar negara di pentas Sukan SEA.

Malah, dia sendiri tidak membawa empat pemain utama ketika kejohanan di Bangkok itu yang menyaksikan Malaysia tewas keempat-empat perlawanan.

Salah satunya tewas kepada satu lagi pencabar utama Sukan SEA, Singapura, 5-4.

“Kami tidak mempunyai kejohanan yang sesuai untuk menguji taktikal dan beberapa gerakan yang telah disediakan kepada pemain-pemain.

“Selepas beraksi di Jepun([Kejohanan Piala Cabaran Hoki Ais Asia), terdapat pengalaman yang diraih oleh skuad negara. Saya memberikan jaminan Malaysia tidak akan tewas kepada Thailand seperti di sana,” kata Kovago.

Mengenai peluang negara, pengurus pasukan, Noor Hisham Yahaya, lebih selesa mengatakan pasukan negara mampu berada dalam kalangan tiga terbaik.

Selepas sepuluh aksi persahabatan menentang kelab dari Taiwan dan Thailand, gabungan pemain dalam lingkungan usia 16 ke 37 tahun ini diharap mampu mara sekurang-kurangnya ke perlawanan akhir.

“Kami memiliki ramai pemain muda jika dibandingkan dengan negara lain yang membariskan pemain-pemain lebih berpengalaman,” kata Hisham.

 

Credit to: http://www.stadiumastro.com